Saturday, June 12, 2010

“SAYA DAN KEHIDUPAN BERMAKNA”

 Oleh : Cikgu Ziela Shafiee

Istilah dalam Bahasa Inggeris bagi ‘kanak-kanak berkeperluan khas’ dinamakan ‘children with exceptional needs’ atau secara ringkas ‘exceptional children’. Pelbagai istilah lain telah digunakan untuk ‘kanak-kanak berkeperluan khas’ dan di antaranya ialah (1) kanak-kanak istimewa (special children), (2) kanak-kanak luar biasa, (3) kanak-kanak kurang upaya (children with disabilities), (4) kanak-kanak cacat (handicapped children), (5) kanak-kanak abnormal (abnormal children), (6) kanak-kanak bermasalah (children with impairments) dan, (7) kanak-kanak terbantut pertumbuhan atau perkembangan.

Terdapat pelbagai kecacatan yang menjadikan kanak-kanak itu sebagai kanak-kanak yang memerlukan penjagaan, perhatian dan pendidikan yang khusus. Farrell (2003) mengkategorikan kecacatan kanak-kanak seperti berikut,

a) KOMUNIKASI DAN INTERAKSI
  1. Masalah pertuturan dan bahasa
  2. Masalah pembelajaran spesifik seperti disleksia ataupun dyspraxia
  3. Cacat pendengaran
  4. Autistik
  5. Masalah pembelajaran sederhana dan teruk
b) KOGNITIF DAN PEMBELAJARAN

c) PERKEMBANGAN TINGKAHLAKU, EMOSI DAN SOSIAL
  1. Masalah emosi dan tingkah laku
  2. Menyendiri
  3. Tingkah laku mencabar
  4. Mengganggu
  5. Hiperaktif dan kurang tumpuan
  6. Kemahiran sosial yang tidak matang
d) SENSORI DAN FIZIKAL

i- Cacat pendengaran
ii- Cacat penglihatan

Namun, dalam konteks pendidikan di Malaysia, kanak-kanak dengan berkeperluan khas dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu kanak-kanak bermasalah pendengaran, bermasalah penglihatan dan bermasalah pembelajaran.

Menurut Jabatan Pendidikan Khas(2004), semua kanak-kanak berhak menerima pendidikan tanpa mengira latar belakang sosial mahupun perkembangan intelek kanak-kanak tersebut. Keperlun untuk memberi pendidikan kepada semua kanak-kanak adalah menjadi satu tanggungjawab sosial terpenting dalam masyarakat. 

Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997 Bahagian II 3(2) menyatakan bahawa, “Seseorang murid dengan keperluan khas adalah boleh dididik jika dia mampu untuk mengurus diri sendiri tanpa bergantung kepada orang lain dan disahkan oleh panel yang terdiri daripada pengamal perubatan,pegawai Kementerian Pendidikan, dan pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat,sebagai berupaya mengikuti program pendidikan kebangsaan layak untuk menghadiri program pendidikan khas kecuali murid-murid yang berikut:

a) Murid yang cacat anggota tetapi mempunyai kebolehan mental untuk belajar seperti murid biasa; dan

b) Murid yang mempunyai pelbagai kecacatan atau yang sangat cacat anggotanya atau yang terencat akal yang berat.”

Justeru, dengan wujudnya program pendidikan khas dapatlah murid-murid yang berkeperluan khas menerima hak mereka untuk belajar seperti rakan sebaya yang lain. Menurut Mansor (1995), program pendidikan khas di Malaysia merupakan satu usaha yang berterusan untuk menggalakkan perkembangan optima seseorang sebagai seorang yang berkemahiran.Pihak kementerian juga telah mewujudkan program pendidikan khas Kementerian Pelajaran Malaysia dengan melalui, (1) Sekolah Khas bagi murid bermasalah penglihatan dan bermasalah dan pendengaran, dan (2) Program Pendidikan Khas Integrasi disediakan untuk murid-murid berkeperluan khas bermasalah pembelajaran, bermasalah pendengaran dan bermasalah penglihatan. la diwujudkan di sekolah harian biasa rendah dan menengah dan sekolah menengah teknik/vokasional yang menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran secara pengasingan dan separa inklusif. Dengan itu, murid berpeluang untuk mengembangkan potensi diri dan bakat dengan mengikuti program-program pendidikan khas yang dianjurkan.

Keupayaan murid pula adalah berbeza-beza dalam pola perkembangan masing-masing berdasarkan tahap kategori masalah yang dihadapi. Murid-murid yang tercenderung dalam bidang kemahiran pula boleh disalurkan untuk melanjutkan pelajaran mereka di sekolah teknik atau vokasional pendidikan khas dan berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di Politeknik dalam bidang pendidikan khas. Satu lagi program untuk murid-murid berkeperluan khas iaitu program inklusif. Melalui program ini murid-murid pendidikan khas belajar bersama-sama dengan murid normal di dalam satu kelas yang sama dan diajar oleh guru yang biasa yang sama dengan dibantu oleh guru sumber pendidikan khas. Murid-murid berkeperluan khas ini juga berpeluang untuk menduduki peperiksaan awam yang sama seperti murid biasa seperti UPSR, PMR, SPM, STPM dan peperiksaan kemahiran dalam teknik dan vokasional. Bagi murid masalah pembelajaran, mereka diberi pilihan sama ada menduduki peperiksaan awam ataupun diberi penilaian berasaskan sekolah, dan ia bergantung pada keupayaan mereka.

Bagi murid berkeperluan khas lain yang bermasalah pembelajaran, mereka berpeluang untuk menerima pendidikan yang khusus iaitu menggunakan kurikulum yang sama dengan murid-murid normal cuma diubahsuai mengikut keperluan dan keupayaan murid tersebut. Ia disebut sebagai kurikulum alternatif. Murid berkeperluan khas ini akan dibimbing oleh guru untuk melaksanakan aktiviti rutin harian seperti menggunakan kemahiran motor halus, kemahiran manipulatif, pengurusan tingkah laku dan pengurusan diri. Setiap perkembangan murid ditafsir dan dinilai sekurang-kurangnya murid dapat menunjukkan peningkatan atau perubahan walaupun sedikit. Disamping itu, sebenarnya guru-guru telah melatih murid hidup berdikari dan merangsang murid agar berkeyakinan diri apabila berhadapan dengan masyarakat kelak. Guru juga turut memberi peluang kepada murid berkeperluan khas untuk menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

Murid berkeperluan khas juga perlu diberi pendidikan tentang latihan kemahiran sosial. Kemahiran yang lazim diajar dan perlu diterapkan ialah tolong-menolong, perkongsian dan bekerjasama. Melalui kaedah ini, kanak-kanak diajar cara bagaimana memasuki sesuatu kumpulan, bagaimana menjadi peserta yang berkesan dalam kumpulan, pentingnya menunggu giliran dan mematuhi peraturan dan bagaimana berbual dengan dengan rakan sebaya. Kemahiran-kemahiran lain boleh diajar ialah seperti pengurusan kemarahan, resolusi konflik dan penyelesaian masalah (mengenal pasti masalah, mewujudkan alternatif, pemilihan penyelesian).
Mereka bukanlah dilahirkan untuk meraih simpati cuma mereka memerlukan sedikit perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa, guru-guru dan masyarakat setempat agar mereka dapat jalani kehidupan seperti orang lain.

Peranan dan tanggungjawab ibu bapa amat penting bagi memastikan ada keselarian dalam menangani murid di sekolah dan di rumah. Terapi tingkah laku misalnya dapat digunakan di sekolah dan di rumah serta nasihat dan sokongan daripada aspek psikologi dapat membantu. Kolaborasi atau pakatan antara guru dengan ibu bapa sangat penting dalam pendidikan kanak-kanak dengan keperluan khas. Ini kerana kolaborasi dapat menambahkan keberkesanan pembelajaran di samping mempertingkatkan perkhidmatan pendidikan. Tanggungjawab mendidik kanak-kanak berkeperluan khas adalah tanggungjawab yang perlu dipikul bersama baik oleh guru, ibu bapa mahupun masyarakat.

No comments:

Post a Comment