Saturday, June 12, 2010

PANDUAN KEMAHIRAN LISAN UNTUK ANAK-ANAK BERKEPERLUAN KHAS


              Kanak-kanak bermasalah pembelajaran sering menghadapi masalah pertuturan ketika berkomunikasi dengan orang lain.Masalah lisan yang dihadapi oleh mereka adalah berbeza-beza mengikut kategori masalah mereka seperti Autisme, Sindrom Down, Kerencatan Akal, Serebral Palsi, Masalah Komunikasi dan Aphasia.

Kategori Murid Masalah Pembelajaran
Masalah Lisan

Autisme
a)   Pengulangan
b)   Pelat
c)   Penggantian konsonan


Sindrom Down
a)   Penguguran konsonan
b)   Penggantian konsonan
c)   Pertuturan kanak-kanak(baby talk)


 Kerencatan Akal
a)   Pengguguran konsonan cth: pergi -/pei/
b)   Sebut tidak jelas
c)   Tidak lancar



Serebral Palsi
Masalah Kominikasi
a)   Pengguguran konsonan
b)   Sebutan tidak jelas
c)   Tidak lancar


Masalah Komunikasi
a)   Kecelaruan pertuturan
b)   Kecelaruan suara
c)   Tidak lancar


Aphasia
a)   Kecelaruan bahasa
b)   Kesukaran mengujarkan kata


Namun begitu, terdapat beberapa kaedah dan strategi pengajaran bagi kemahiran lisan untuk mengajar anak-anak berkeperluan khas ini.Perlaksanaan strategi ini melibatkan kepada intervensi dan terapi pertuturan.

Permasalahan Lisan

Strategi Pengajaran

Kecelaruan Suara

a)   Aktiviti awal pendengaran
b)   Aktiviti awal pertuturan

Contoh: Ayat beritma

Sebutan Tidak Jelas

a)   Aktiviti awal pertuturan dan bahasa.

Contoh : Deskriminasi bunyi (seperti mengajar sebutan bunyi huruf a,e,i.o.u)

Tidak lancar/gagap

a)   Aktiviti awal pertuturan dan bahasa.

Contoh: Pemintal lidah, cuing

(mengajar sebut sebutan perkataan yang sukar seperti chewing,dsb)

Aphasia

a)   Aktiviti awal pertuturan dan bahasa

Contoh:
Deskriminasi bunyi









Pakar Kanak-kanak: Lewat bercakap


 
“ANAK saya berusia dua tahun tetapi masih belum bercakap. Bukan tidak boleh atau tidak faham percakapan orang tetapi apabila ditanya, dia hanya menjawab sepatah dua.

“Namun apabila sepupunya yang tua setahun daripadanya datang ke rumah, banyak juga perkataan keluar daripada mulutnya,” keluh seorang ibu bercerita mengenai anaknya.

Sebenarnya ada ramai kanak-kanak yang boleh dikategorikan sebagai lewat bercakap. Dianggarkan lima hingga 10 peratus kanak-kanak mengalami gangguan perkembangan yang menyebabkan proses penguasaan bahasa dan percakapan menjadi lambat.

Ibu bapa perlu tahu, perkembangan bahasa tidak hanya merujuk kepada percakapan tetapi juga bentuk komunikasi lain seperti bahasa isyarat, tulisan dan kemahiran visual.

Lewat bercakap boleh disebabkan beberapa masalah dengan:

• Kebolehan bercakap (ada masalah pada korda suara dan lidah)

• Kemasukan percakapan (masalah pendengaran) 

• Pemprosesan percakapan (masalah pada otak atau gangguan perkembangan pertuturan)

Dua jenis masalah lambat bercakap ialah kelewatan ekspresif (kesusahan menggunakan percakapan untuk meminta atau berinteraksi) atau kelewatan reseptif (sukar menafsir atau memahami percakapan orang). Ada juga kanak-kanak yang mengalami gabungan kedua-dua keadaan di atas.

Kebanyakan kanak-kanak yang lewat bercakap juga mengalami gangguan perkembangan bahasa (DLD) dengan kelewatan ekspresif tetapi perkembangan kemahiran bahasa visual (mengenali ibu bapa dan objek, bertindak balas terhadap ekspresi muka, mematuhi arahan yang disertakan gerak badan atau tangan yang memberitahu anda mahukan sesuatu atau menuding jari ke arah objek diinginkan) yang normal seperti kanak-kanak lain.

Kanak-kanak ini juga menunjukkan kefahaman normal terhadap percakapan orang lain, kemahiran mendengar (mengenal dan menoleh ke arah bunyi), mematuhi arahan mudah tanpa perlukan ditunjuk dengan perbuatan oleh orang yang memberi arahan, boleh tunjuk anggota badan atau objek yang disebut walaupun sesetengahnya turut mengalami sedikit kelewatan reseptif.

Namun jika diberikan rawatan awal (terapi pertuturan), kebanyakan kanak-kanak boleh bertutur dengan baik apabila masuk sekolah.

Sesetengah kanak-kanak yang menunjukkan tanda kelewatan ekspresif hanya lambat bercakap dan kelewatan tersusun iaitu perkembangan pertuturan berlaku secara berperingkat.

Perkembangan pertuturan dan penguasaan bahasa kanak-kanak ini akan menjadi normal dengan peningkatan umur tanpa sebarang rawatan.

Malangnya sehingga kini tiada kaedah membezakan atau menentukan sama ada seseorang kanak-kanak mengalami kelewatan tersusun yang boleh bertutur dengan peningkatan umur dengan kanak-kanak yang memerlukan terapi.

Masalah pendengaran juga boleh menyebabkan kanak-kanak lewat bercakap. Justeru, kanak-kanak yang disyaki mengalami masalah ini perlu dibawa menjalani ujian pendengaran.

Jangan anggap mereka boleh mendengar hanya kerana kanak-kanak ini menunjukkan tindak balas kepada bunyi tepukan yang kuat, loceng atau datang apabila dipanggil dari bilik sebelah.

Punca lain kelewatan bercakap termasuk masalah membabitkan otak seperti terencat akal dan autisme. Selain kelewatan ekspresif dan reseptif, perkembangan kemahiran bahasa visual (mengenali objek, bertindak balas terhadap mimik muka, mematuhi arahan dengan ditunjukkan pergerakan tangan) juga lambat.

Bagaimanapun, keadaan ‘berat mulut’, malas bercakap atau mempunyai ramai adik beradik yang lebih banyak bercakap atau dibesarkan dalam keluarga bertutur dua bahasa tidak menyebabkan masalah kelewatan bercakap.

Senarai di bawah adalah sebagai panduan terhadap perkembangan percakapan kanak-kanak. Kanak-kanak yang menunjukkan pencapaian 75 peratus, perkembangan pertuturan mereka boleh berlaku secara normal. Namun ini hanya panduan, dapatkan nasihat pakar kanak-kanak jika anak anda tidak menunjukkan perkembangan seperti disenaraikan. Kelewatan bercakap jika disebabkan kurang pendengaran perlu dikenal pasti seawal mungkin.


PERKEMBANGAN PERCAKAPAN

Bayi baru lahir — Boleh mendengar dan membezakan sama ada bunyi datang dari kiri atau kanan. Mereka akan menggerakkan kepala ke arah sumber bunyi. Bayi anda juga sepatutnya boleh memberi tindak balas kepada bunyi perlahan. Bayi mula senyum dan menunjukkan gerak balas kepada seseorang pada umur sebulan dan mengenali suara ibu bapa pada umur satu hingga 2½ bulan

Tiga hingga enam bulan 
Bayi boleh meniru bunyi percakapan

Empat hingga lapan bulan 
Bayi menyebut satu suku kata (contoh ba, da, ga, gu)

Lima hingga sembilan bulan 
Bayi menyebut beberapa suku kata berulang-ulang (contoh bababa, lalala)

Enam hingga 10 bulan  
Bayi mula menyebut perkataan mudah yang kerap didengar (emak, ayah, tak)

Lima hingga 10 bulan 
Kebanyakan bayi boleh menyebut mama, dada — yang tidak hanya merujuk kepada ibu dan ayahnya

Enam hingga sembilan bulan 
Kebanyakan bayi boleh mengikut atau mematuhi arahan pendek yang disertakan dengan pergerakan badan atau tangan. Contohnya meminta dia memegang objek atau tangan anda. Dalam lingkungan umur tujuh hingga 11 bulan, bayi sepatutnya boleh mematuhi arahan ringkas tanpa perlu ditunjuk dengan tangan

Tujuh hingga 12 bulan 
 Sudah pandai menggunakan perkataan mama, emak atau ayah dengan betul

Sembilan hingga 14 bulan 
Biasanya sudah boleh menyebut satu patah perkataan (selain emak, ayah)

10 hingga 15 bulan 
Sepatutnya bayi boleh menunjuk ke arah objek yang dikehendakinya

11 hingga 20 bulan 
Anak anda seharusnya boleh menyebut empat hingga enam perkataan (selain emak, ayah atau nama adik beradik)

14 hingga 21 bulan 
Si kecil boleh mematuhi arahan dua langkah tanpa bantuan pergerakan tangan (contoh ‘Duduk di sini dan makan’). Pada umur 14 hingga 18 bulan, dia seharusnya boleh menunjukkan dua atau lebih anggota badan dan meningkat kepada enam anggota badan pada umur 22 bulan

16 hingga 20 bulan 
Kanak-kanak boleh menyuarakan kehendaknya dalam satu perkataan (jus, susu, lagi, banyak)

18 hingga 22 bulan 
Si kecil sudah boleh menggabungkan dua perkataan atau ayat mudah seperti ‘hendak susu’ atau ‘mahu lagi’

16 hingga 24 bulan 
Kanak-kanak seharusnya sudah boleh menguasai lebih 50 patah perkataan

19 hingga 26 bulan 
Menggunakan perkataan saya, awak walaupun kadangkala terbalik. Kebanyakan kanak-kanak boleh menyebut perkataan dengan baik apabila berumur 30 bulan

24 bulan 
Percakapannya boleh difahami separuh oleh orang lain atau individu yang jarang berjumpa kanak-kanak berkenaan

24 hingga 32 bulan 
Boleh menamakan empat gambar

26 hingga 32 bulan 
Boleh bercakap dalam dua hingga tiga ayat mudah

27 hingga 34 bulan
Boleh memahami dua arahan dalam satu ayat contohnya ‘Letak cawan di atas meja atau sebelah buku’

29 hingga 34 bulan 
Boleh menamakan dan kegunaan sekurang-kurangnya dua objek. Kanak-kanak seharusnya boleh mengenali satu warna pada umur 2½ hingga 3¼ tahun dan empat warna pada umur tiga hingga 4½ tahun

Tiga tahun 
Hampir 75 peratus pertuturannya boleh difahami orang yang jarang bertemu kanak-kanak ini. Pada umur ini mereka boleh menguasai lebih 250 perkataan. Pada umur empat tahun, percakapannya seharusnya boleh difahami sepenuhnya dan mampu menguasai 600 perkataan

Saringan pendengaran boleh dilakukan pakar kanak-kanak melalui satu ujian mudah (audimetri) apabila mereka boleh memberi kerjasama (biasanya selepas umur empat tahun). Kanak-kanak (dari dilahirkan hingga empat tahun) perlu berjumpa pakar pendengaran untuk ujian selanjutnya.

Jika anda fikir anak anda lewat bercakap, bawa si kecil untuk jalani ujian pendengaran. Pada masa sama kanak-kanak yang ada masalah lewat bercakap juga perlu dirujuk kepada pakar terapi pertuturan atau pakar psikologi jika perlu secepat mungkin.

Pada masa sama ibu bapa juga boleh membantu meningkatkan percakapan anak dengan:

• Membaca buku kepada anak, terutama buku bergambar di mana anda boleh mengajaknya untuk menunjuk atau menamakan objek

• Gunakan bahasa mudah apabila bercakap dengan anak, dibantu dengan gerak badan atau tangan. Tanya banyak soalan kepada anak. Pastikan anda ‘bercakap’ dengan si kecil dan bukan memberi arahan

• Beri tindak balas segera apabila anak bercakap untuk memberi dorongan kepadanya

• Ulang perkataan atau ayat anak anda dengan menambah beberapa perkataan lagi bagi memanjangkan ayat berkenaan

• Sabar melayan anak dan jangan marah jika dia melakukan kesilapan. Beri masa untuk anak menghabiskan ayatnya

• Jangan paksa anak bercakap.

Tarikh ambil : 26 March 2010

“SAYA DAN KEHIDUPAN BERMAKNA”

 Oleh : Cikgu Ziela Shafiee

Istilah dalam Bahasa Inggeris bagi ‘kanak-kanak berkeperluan khas’ dinamakan ‘children with exceptional needs’ atau secara ringkas ‘exceptional children’. Pelbagai istilah lain telah digunakan untuk ‘kanak-kanak berkeperluan khas’ dan di antaranya ialah (1) kanak-kanak istimewa (special children), (2) kanak-kanak luar biasa, (3) kanak-kanak kurang upaya (children with disabilities), (4) kanak-kanak cacat (handicapped children), (5) kanak-kanak abnormal (abnormal children), (6) kanak-kanak bermasalah (children with impairments) dan, (7) kanak-kanak terbantut pertumbuhan atau perkembangan.

Terdapat pelbagai kecacatan yang menjadikan kanak-kanak itu sebagai kanak-kanak yang memerlukan penjagaan, perhatian dan pendidikan yang khusus. Farrell (2003) mengkategorikan kecacatan kanak-kanak seperti berikut,

a) KOMUNIKASI DAN INTERAKSI
  1. Masalah pertuturan dan bahasa
  2. Masalah pembelajaran spesifik seperti disleksia ataupun dyspraxia
  3. Cacat pendengaran
  4. Autistik
  5. Masalah pembelajaran sederhana dan teruk
b) KOGNITIF DAN PEMBELAJARAN

c) PERKEMBANGAN TINGKAHLAKU, EMOSI DAN SOSIAL
  1. Masalah emosi dan tingkah laku
  2. Menyendiri
  3. Tingkah laku mencabar
  4. Mengganggu
  5. Hiperaktif dan kurang tumpuan
  6. Kemahiran sosial yang tidak matang
d) SENSORI DAN FIZIKAL

i- Cacat pendengaran
ii- Cacat penglihatan

Namun, dalam konteks pendidikan di Malaysia, kanak-kanak dengan berkeperluan khas dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu kanak-kanak bermasalah pendengaran, bermasalah penglihatan dan bermasalah pembelajaran.

Menurut Jabatan Pendidikan Khas(2004), semua kanak-kanak berhak menerima pendidikan tanpa mengira latar belakang sosial mahupun perkembangan intelek kanak-kanak tersebut. Keperlun untuk memberi pendidikan kepada semua kanak-kanak adalah menjadi satu tanggungjawab sosial terpenting dalam masyarakat. 

Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997 Bahagian II 3(2) menyatakan bahawa, “Seseorang murid dengan keperluan khas adalah boleh dididik jika dia mampu untuk mengurus diri sendiri tanpa bergantung kepada orang lain dan disahkan oleh panel yang terdiri daripada pengamal perubatan,pegawai Kementerian Pendidikan, dan pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat,sebagai berupaya mengikuti program pendidikan kebangsaan layak untuk menghadiri program pendidikan khas kecuali murid-murid yang berikut:

a) Murid yang cacat anggota tetapi mempunyai kebolehan mental untuk belajar seperti murid biasa; dan

b) Murid yang mempunyai pelbagai kecacatan atau yang sangat cacat anggotanya atau yang terencat akal yang berat.”

Justeru, dengan wujudnya program pendidikan khas dapatlah murid-murid yang berkeperluan khas menerima hak mereka untuk belajar seperti rakan sebaya yang lain. Menurut Mansor (1995), program pendidikan khas di Malaysia merupakan satu usaha yang berterusan untuk menggalakkan perkembangan optima seseorang sebagai seorang yang berkemahiran.Pihak kementerian juga telah mewujudkan program pendidikan khas Kementerian Pelajaran Malaysia dengan melalui, (1) Sekolah Khas bagi murid bermasalah penglihatan dan bermasalah dan pendengaran, dan (2) Program Pendidikan Khas Integrasi disediakan untuk murid-murid berkeperluan khas bermasalah pembelajaran, bermasalah pendengaran dan bermasalah penglihatan. la diwujudkan di sekolah harian biasa rendah dan menengah dan sekolah menengah teknik/vokasional yang menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran secara pengasingan dan separa inklusif. Dengan itu, murid berpeluang untuk mengembangkan potensi diri dan bakat dengan mengikuti program-program pendidikan khas yang dianjurkan.

Keupayaan murid pula adalah berbeza-beza dalam pola perkembangan masing-masing berdasarkan tahap kategori masalah yang dihadapi. Murid-murid yang tercenderung dalam bidang kemahiran pula boleh disalurkan untuk melanjutkan pelajaran mereka di sekolah teknik atau vokasional pendidikan khas dan berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di Politeknik dalam bidang pendidikan khas. Satu lagi program untuk murid-murid berkeperluan khas iaitu program inklusif. Melalui program ini murid-murid pendidikan khas belajar bersama-sama dengan murid normal di dalam satu kelas yang sama dan diajar oleh guru yang biasa yang sama dengan dibantu oleh guru sumber pendidikan khas. Murid-murid berkeperluan khas ini juga berpeluang untuk menduduki peperiksaan awam yang sama seperti murid biasa seperti UPSR, PMR, SPM, STPM dan peperiksaan kemahiran dalam teknik dan vokasional. Bagi murid masalah pembelajaran, mereka diberi pilihan sama ada menduduki peperiksaan awam ataupun diberi penilaian berasaskan sekolah, dan ia bergantung pada keupayaan mereka.

Bagi murid berkeperluan khas lain yang bermasalah pembelajaran, mereka berpeluang untuk menerima pendidikan yang khusus iaitu menggunakan kurikulum yang sama dengan murid-murid normal cuma diubahsuai mengikut keperluan dan keupayaan murid tersebut. Ia disebut sebagai kurikulum alternatif. Murid berkeperluan khas ini akan dibimbing oleh guru untuk melaksanakan aktiviti rutin harian seperti menggunakan kemahiran motor halus, kemahiran manipulatif, pengurusan tingkah laku dan pengurusan diri. Setiap perkembangan murid ditafsir dan dinilai sekurang-kurangnya murid dapat menunjukkan peningkatan atau perubahan walaupun sedikit. Disamping itu, sebenarnya guru-guru telah melatih murid hidup berdikari dan merangsang murid agar berkeyakinan diri apabila berhadapan dengan masyarakat kelak. Guru juga turut memberi peluang kepada murid berkeperluan khas untuk menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

Murid berkeperluan khas juga perlu diberi pendidikan tentang latihan kemahiran sosial. Kemahiran yang lazim diajar dan perlu diterapkan ialah tolong-menolong, perkongsian dan bekerjasama. Melalui kaedah ini, kanak-kanak diajar cara bagaimana memasuki sesuatu kumpulan, bagaimana menjadi peserta yang berkesan dalam kumpulan, pentingnya menunggu giliran dan mematuhi peraturan dan bagaimana berbual dengan dengan rakan sebaya. Kemahiran-kemahiran lain boleh diajar ialah seperti pengurusan kemarahan, resolusi konflik dan penyelesaian masalah (mengenal pasti masalah, mewujudkan alternatif, pemilihan penyelesian).
Mereka bukanlah dilahirkan untuk meraih simpati cuma mereka memerlukan sedikit perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa, guru-guru dan masyarakat setempat agar mereka dapat jalani kehidupan seperti orang lain.

Peranan dan tanggungjawab ibu bapa amat penting bagi memastikan ada keselarian dalam menangani murid di sekolah dan di rumah. Terapi tingkah laku misalnya dapat digunakan di sekolah dan di rumah serta nasihat dan sokongan daripada aspek psikologi dapat membantu. Kolaborasi atau pakatan antara guru dengan ibu bapa sangat penting dalam pendidikan kanak-kanak dengan keperluan khas. Ini kerana kolaborasi dapat menambahkan keberkesanan pembelajaran di samping mempertingkatkan perkhidmatan pendidikan. Tanggungjawab mendidik kanak-kanak berkeperluan khas adalah tanggungjawab yang perlu dipikul bersama baik oleh guru, ibu bapa mahupun masyarakat.

Monday, March 29, 2010

Mode Sedih.....

Ehem..minggu ni merupakan minggu terakhir 7 orang anak muridku berpindah ke sekolah baru pula.Perpindahan ini kerana ada sekolah baru yg baru buka kelas pendidikan khas,so sebahagian muridku dipindahkan ke sekolah baru atas faktor lebih dekat dengan rumah.Baru mengenali mereka hampir 3 bulan,baru kemesraan berputik,da kena pindah.Btw,aku doakan mereka gembira di sekolah baru sana.So,murid di kelas aku sekarang semakin berkurangan dan bertambah mudahlah mengurus mereka dalam kelompok yang lebih kecil.maklumlah setiap murid mempunyai masalah dan keupayaan yang berbeza-beza.Mereka perlukan lebih perhatian dan pendekatan p&p yang lebih khusus untuk mereka.

Oh ya,hari ni kelas aku ada menerima seorang murid baru.Namanya Syahrul(bukan nama sebenar).Kiut je budak ni.Bila diuji budak ni,rupanya dia masalah disleksia.Disleksia itu apa?? hmm...diantara ciri2 ketara murid disleksia ialah menulis huruf terbalik-terbalik..contohnya; huruf 'b', tapi mereka menulis 'd', dan kalau tulis angka '21' jadi '12'.ataupun selalu tertinggal huruf apabila mengeja.huhu..pendekatannya,murid ini perlukan peneguhan daripada guru..
Kadang-kadang kita tak sedar rupanya org dewasa yang normal pun selalu jadi beginikan secara tak sedar.Cuma bezanya dari tahap teruk atau tidak je..

Oleh itu,kesimpulannya,janganlah kita memandang kelemahan dan kekurangan orang lain dengan pandangan yang amat rendah,sebab belum tentu kita dipandang tinggi/mulia oleh orang lain/di sisiNya tanpa kita sedari tentang kekurangan/kelemahan diri kita sendiri..waallahua'lam

Wednesday, March 24, 2010

Pengalaman Bersama Anak-anak Istimewa



Salam untuk semua..terima kasih kerana sudi menjenguk blog saya yang tidak seberapa ini.Sudah lama saya mahu menyambung penulisan atas sebab-sebab kekangan masa yang mencemburui.Sebenarnya bidang pendidikan khas ini adalah dunia baru bagi saya berkecimpung.Sebelum ini bila terdengar atau tengok tv ada cerita berkaitan insan istimewa saya hanya dapat meluahkan perasaan ihsan terhadap mereka.Sememangnya jarang dan tidak pernah saya bergaul atau berinteraksi khusus bersama golongan istimewa ni..tetapi naluri ingin tahu telah membawa saya untuk mendekati mereka dengan lebih dekat.Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menjadi sebahagian daripada mereka.
Saya masih lagi belajar mengenal mereka dan mengenalpasti kaedah yang bersesuaian untuk membimbing mereka sekurang-kurangnya mereka akan merasa dirinya diberi perhatian yang lebih oleh orang sekelilingnya.Beberapa kaedah'try and error'telah dipraktiskan agar mereka dapat bersama-sama berpeluang turut serta dalam dunia pembelajaran mereka di sekolah bersama rakan-rakan lain.

Kelas pendidikan khas di sekolah saya mempunyai anak-anak pelbagai jenis masalah yang berkeperluan khas yang pelbagai iaitu termasuklah sindrom down,autisme,masalah pembelajaran,cerebrum palsy,terencat akal sederhana dan masalah pertuturan dan pendengaran sederhana.Saya dapat merasakan situsi ini adalah paling mencabar bagi saya kerana dapat mengajar mereka yang pelbagai masalah dan memerlukan kaedah/pendekatan yang berbeza semasa di dalam sesi pembelajaran dan pengajaran (p&p) di kelas.Tahap keupayaan mereka adalah berbeza-beza bergantung tahap kecenderungan mereka.

Jika hendak diceritakan pengalaman bersama mereka bagi setiap orang, 1 hari 1 malam pun tak cukup ni..setiap individu mempunyai cerita masing-masing.Ok la..saya ceritakan tentang salah seorang murid saya perempuan berusia 12 tahun iaitu Diana (bukan nama sebenar).Pada awal saya masuk ke sekolah ini,saya agak sukar untuk berkomunikasi lisan dengan Diana.Masalah ketara yang dihadapinya ialah pertuturan.Diana ni orangnya boleh bercakap tetapi dia tidak mahu bercakap.Kalau bercakap pun saya perhatikan hanya bibir bergerak-gerak je tanpa suara.Itu yang merunsingkan saya.Pada telahan saya, Diana ingin bercakap dan mengeluarkan kata-kata tetapi seperti ada yang mengunci dia untuk bersuara.Dan apabila dia bersuara seolah-olah dia malu dengan rakan-rakannya dan tidak yakin dengan dirinya.Tetapi dari segi positifnya dia mempunyai tulisan yang cantik dan kemas,dan setiap kerja diberi dapat dibuat dengan baik.

Pelbagai kaedah cuba jaya saya lakukan agar dia boleh berinteraksi dengan orang lain.Berikut adalah beberapa pendekatan yang saya cuba beri iaitu (1) semasa p&p saya memberikan peluang Diana untuk memberi tindak balas soalan yang disoal.Apabila Diana malu untuk bersuara saya mengajak Diana berbisik atau cakap secara individu antara kami berdua.(2) Saya mempelbagaikan aktiviti di dalam kumpulan iaitu belajar mengeja sambil berlagu dan mengetuk chopstik.Saya dapati Diana begitu asyik mengeja berlagu bersama-sama rakan dan terlupa sebentar masalahnya tadi.Apabila saya perasan akan hal itu,saya hanya senyum lebar je melihat perkembangan itu.(3) Diana juga selalu disergah oleh saya apabila dia tidak dapat bercakap dan saya memberi peneguhan negatif terhadap dia iaitu memberitahu dia tidak dapat rehat kalau tidak menjawab pertanyaan yang saya ajukan.Dalam keadaan tertekan secara terkawal,Diana mampu untuk memberikan jawapan dan bersuara.Ini adalah satu hadiah yang saya inginkan dari Diana iaitu mendengar suaranya.Sekurang-kurangnya objektif saya untuk mendengar suaranya sudah tercapai walaupun belum secara total.

GALERI AKTIVITI ANAK-ANAK PENDIDIKAN KHAS 2010

PROGRAM TRANSISI PENDIDIKAN KHAS 2010

AKTIVITI : MASAKAN



Apa Itu Disleksia?!




DISLEKSIA


- Ketidakupayaan memperoleh pengetahuan daripada proses pembelajaran akibat kesukaran mentafsir kod ayat.
- Mempunyai masalah menguasai tugasan sekolah walaupun mereka telah berusaha bersungguh-sungguh
- Mempunyai keupayaan intelek yang normal
- Telah mendapat ransangan dan pembelajaran yang mencukupi.
- Masalah asasnya adalah perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi.
- Mereka mungkin mengalami kesukaran membaca, menulis, memahami,mengeja dan mengira..
- Kanak-kanak lelaki lebih ramai bermasalah Disleksia berbanding perempuan.


CIRI-CIRI DISLEKSIA


Ciri-ciri kanak-kanak disleksia ialah:
1- Umum
- Perkembangan pertuturan dan bahasa yang lambat
- Kemahiran mengeja yang lemah
- Kemahiran membaca yang lemah
- Keliru dengan perkataan yang hamper serupa
- Sukar mengikut arahan
- Sukar menyalin
- Sukar menggunakan jalan yang berliku

2- Pengamatan dan Tingkah Laku
- Keliru dengan konsep arah
- Keliru dengan konsep masa
- Kerap terasa tertekan
- Keliru memakai kasut pada kaki yang betul
- Konsep kendiri yang rendah


3- Kecelaruan Pandangan dan Penglihatan

- Mengeja dengan tidak konsisten
- Sering meninggalkan huruf pada pangkal perkataan
- Sering menambah huruf pada hujung perkataan
- Masalah dalam susunan huruf
- Sukar memahami perkataan
- Daya ingatan yang lemah
- Sukar membayangkan perkataan

4- Kemahiran Motor
- Koordinasi yang lemah
- Pergerakan pergelangan tangan yang luar biasa
- Lambat menulis
- Tulisan yang buruk
- Sukar memegang pensel dengan betul
- Sukar menggunting
- Sukar mengimbangkan badan
- Sukar menyepak dengan baik
- Sukar menaiki tangga dengan betul

Kehadiran kanak-kanak disleksia biasanya tidak disedari oleh guru sekiranya guru tidak mempunyai pengetahuan mengenai cirri-ciri disleksia. Tambahan pula, daripada segi fizikal, kanak-kanak disleksia tidak mengalami sebarang kecacatan lain dan tahap kecerdasan yang normal.

JENIS-JENIS DISLEKSIA

Disleksia dapat dibahagikan kepada 3 kategori iaitu:

1- Disleksia Visual

Berkaitan dengan masalah kanak-kanak dalam menggunakan deria penglihatan. Walaupun kanak-kanak itu dapat melihat dengan baik tetapi ia tidak dapat membezakan apa yang dilihat ataupun menginterpretasi serta mengingatinya.


2- Disleksia Auditori


Berkaitan dengan masalah kanak-kanak dalam menggunakan deria pendengaran.Walaupun kanak-kanak itu dapat mendengar tetapi ia mengalami kesukaran dalam mendiskriminasikan bunyi, membezakan persamaan dan perbezaan antara bunyi, mengenal pasti bunyi bagi perkataan ataupun membahagikan perkataan dalam suku kata.

3- Disleksia Visual-Auditori

Kanak-kanak pada tahap kategori ini adalah agak teruk kerana kedua-dua deria penglihatan dan pendengaran tidak dapat membantunya menginterpretasi apa yang dilihat dan didengar.

KEMAHIRAN MEMBACA

Dalam pendidikan khas, aspek bacaan paling diutamakan dan ditekankan pada peringkat awal bersama kemahiran-kemahiran lain seperti menulis dan mengira. Kebolehan membaca merupakan asas utama seseorang itu mencapai kejayaan dalam kehidupan sehari-hari.
Berikut adalah 6 peringkat sebagai panduan ibu bapa / guru melatih kanak-kanak menguasai keamhiran itu iaitu :

1- Berkenalan dengan huruf konsonan dan vokal.
2- Membaca dan membunyikan dua suku kata dan ada baiknya dua suku kata itu diwarnakan.
3- Mengeja dan membaca dua suku kata terbuka.
4- Membaca gabungan huruf konsonan-vokal-konsonan (KVK)
5- Membaca perkataan yang sukar gabungan konsonan dan vokal.
6- Membaca karangan mudah.

Ditulis oleh : Cikgu ziela, 2010
Sumber : Jamila, (2005), Pendidikan Khas untuk Kanak-kanak Istimewa,